Kelahiran Rasul Mulia: Bab 4 - Penutup




BAB 4 - PENUTUP



YA ALLAH BERIKANLAH RAHMAT DAN KESEJAHTERAAN SERTA KEBERKATAN KEPADANYA DAN KELUARGANYA.

Kemudian Malaikat berkata; "Bahawa NabiNYA, Muhammad SallALLAHu Alaihi Wasallam ini akan diasuh dan disusui oleh Halimah Binti Abi Dzuaib, seorang wanita yang amat penyabar."

Kemudian semua wanita-wanita yang mengambil upah menyusukan bayi itu tidak berpeluang menyusukan Baginda SAW kerana keputusan ALLAH SWT yang telah terdahulu di dalam suratan takdirNYA. Iaitu kebahagiaan dan keberuntungan itu hanyalah milik Halimah Binti Abi Zuaib.

Ketika Saidatuna Halimah sampai bersama bayi itu ke tempat tinggalnya, maka ia menyaksikan sendiri keberkatan bayi tersebut, hinggakan pada kambing-kambing peliharaannya yang sakit menjadi sehat dan gemuk menjadi serta memancar deras air susunya hingga melebihi kecukupannya dan sekeluarganya, setelah diusapkannya tangan bayi itu ke atas kambing-kambingnya. Setiap hari ia dapat melihat tanda-tanda kebesaran luar biasa dan keberkatan bayi yang sedang diasuhnya itu. Dan setiap hari juga, semakin tinggi dan menebal kasih sayangnya terhadap bayi itu. Sehinggalah bayi asuhannya itu semakin membesar dengan sehat sejahtera. Serta dapat bergaul bersama-sama saudara sesusuannya yang lain dan kanak-kanak yang sebaya dengannya.




YA ALLAH BERIKANLAH RAHMAT DAN KESEJAHTERAAN SERTA KEBERKATAN KEPADANYA DAN KELUARGANYA.

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Segala Puji bagi ALLAH Tuhan Semesta Alam. Ya ALLAM, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada Penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan keluarganya serta sahabatnya semua. Semoga ALLAH menjadikan kami dan kamu semua daripada golongan yang berhak mendapatkan syafaatnya dan sentiasa mengharap daripada ALLAH, rahmat dan kasihNYA. Ya ALLAH, dengan berkat penghormatan kami kepada Nabi Muhammad SAW yang mulia ini, dan keluarganya serta sahabatnya yang telah menempuh jalan yang lurus, jadikanlah kami sebaik-baik umatnya dan tutuplah keburukan kami dengan berkat penghormatan kami kepadanya.

Himpunkanlah kami ke dalam golongannya besok, pada hari kiamat nanti. Gunakanlah lidah kami untuk memujinya dan membantu agamanya. Hidupkanlah kami dalam keadaan berpegang teguh dengan sunnahnya dan taat kepada segala perintahnya. Dan matikanlah kami dalam keadaan mencintainya serta para ahli keluarganya.

Ya ALLAH, masukkanlah kami ke dalam syurga bersama dengannya, kerana sesungguhnya Bagindalah orang pertama yang akan menempatinya. Dan kasihanilah kami jua, pada ketika Baginda SAW akan memberikan syafaatnya kepada sekalian makhluk, maka Engkau pun mengasihani mereka. Ya ALLAH berikanlah kami rezeki dengan dapat menziarahinya pada setiap tahun. Dan janganlah ENGKAU jadikan kami daripada golongan yang lupa untuk mengingatiMU dan mengingati Baginda SAW walaupun hanya sekelip mata. Ya ALLAH, peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang zalim.

Dan jadikanlah kami orang-orang yang selamat daripada godaan dunia ini. Ya ALLAH, jadikanlah Rasul SAW yang mulia ini orang yang memberikan syafaatnya kepada kami. Dan berikanlah kami kedudukan yang tinggi dengan sebab syafaatnya pada hari kiamat kelak. Ya ALLAH, berikanlah kami minum dari telaga NabiMU Muhammad SAW yang dengan minuman yang sedap dan lancar, yang kami tidak akan dahaga lagi sesudahnya untuk selama-lamanya. Dan himpunkanlah kami di bawah benderanya kelak pada hari kiamat. Ya ALLAH, dengan berkat kemuliaan Baginda SAW, ampunilah kami, bapa-bapa kami, ibu-ibu kami, guru-guru mursyid kami, guru-guru yang mengajar kami, orang-orang yang mempunyai hak yang wajib kami tunaikan, orang yang menjalankan kebaikan ini pada waktu ini, dan seluruh orang yang beriman, lelaki dan perempuan, juga orang-orang Islam, lelaki dan perempuan, yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.

Sesungguhnya Engkau adalah Zat yang sangat dekat rahmat dan bantuanNYA, yang memperkenankan segala doa, yang menunaikan seluruh hajat dan yang mengampunkan segala dosa dan kesalahan. Wahai Zat Yang Maha Penyayang, dari sekalian penyayang. Semoga ALLAH SWT melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada Penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarganya.

Maha Suci Tuhan yang mempunyai kemegahan, dari apa yang mereka sifatkan. Salam Sejahtera atas para Rasul dan segala puji hanyalah bagi ALLAH SWT, Tuhan semesta alam.

YA ALLAH BERIKANLAH RAHMAT DAN KESEJAHTERAAN SERTA KEBERKATAN KEPADANYA DAN KELUARGANYA.



WasallALLAHu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala Aalihi wa Sallam.


Tamat sudah kesemua 4 bab mengenai perihal kelahiran Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW, Nabi kita serta kekasih agung kita. Semoga para pembaca beroleh manfaat yang besar daripada bacaan kisah kelahiran Rasulullah SAW ini. Semoga bertambah ilmu yang para pembaca miliki. Dan semoga bertambah rasa kasih dan cinta kita kepada Baginda SAW.

Salam Mahabbah Rasulullah SAW buat semua. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang berjaya mendapat syafaat Rasulullah SAW kelak, di hari akhirat.


Baca bab terdahulu:

Bab 1
Bab 2
Bab 3





WAllahuA'lam.

Sekian,
7.28 malam, 25 Januari 2013, 13 Rabiul Awwal 1434H.



No comments:

Post a Comment

Post a Comment